Tidak seperti pemimpin lain yang merajuk tidak dicalonkan semula untuk bertanding di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dilihat banyak membantu mana-mana calon Barisan Nasional (BN) untuk berkempen, lapor Sinar Harian.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha Ketua Wanita UMNO itu akan dibalas dengan dilantik semula sebagai salah seorang menteri kabinet jika BN memenang PRU14 9 Mei ini dengan majoriti dua pertiga.
Zahid berkata, meskipun Shahrizat tidak bertandign di mana-mana kerusi Parlimen di PRU14, namun beliau boleh dilantik sebagai senator. Langkah itu sebagai tanda penghargaan UMNO terhadap kesetiaan dan kerja keras Shahrizat dalam membantu calon-calon BN yang bertanding menerusi Jalinan Rakyat (JR) Plus.
"Tidak seperti dua atau tiga pemimpin lain, bila tidak bertanding mereka lari, sabotaj dan berpaling tadah daripada parti.
"Jadi selepas 9 Mei apabila BN menang besar dengan dua pertiga, saya akan bisikkan kepada perdana menteri agar Shahrizat dilantik semula sebagai menteri kabinet," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan JR Plus Bagan Datuk di, Hutan Melintang petang semalam.
Beliau juga akan mencadangkan agar lebih banyak kerusi Dewan Negara diberikan kepada tokoh wanita yang berkaliber.
Shahrizat melahirkan rasa terharu dan penghargaan kepada Ahmad Zahid di atas keprihatinan beliau dalam memperkasakan peranan wanita dalam pentadbiran kerajaan.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Zahid atas saranan beliau akan membawa perkara ini kepada perdana menteri tetapi sebelum benda itu berlaku wanita mesti menang besar dua pertiga pada PRU14," katanya.
Terdahulu, tiga pemimpin veteran UMNO iaitu Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rais Yatim dilaporkan dipecat kerana mengkritik parti itu secara terbuka. Bagaimanapun, Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, hanya Daim dan Rafidah sahaja yang dipecat, sementara Rais pula sedang disiasat.
Sumber Tak sabotaj UMNO, Shahrizat akan dilantik semula dalam kabinet
Tags:
thereporter