Asoka – Maharaja Maurya Yang Memilih Jalan Damai

Bagi peminat filem Hindustan dan sejarah India, pasti tidak akan lupa filem Asoka yang ditayangkan pada tahun 2001. Filem yang menampilkan Shah Rukh Khan sebagai Maharaja Asoka menceritakan bagaimana maharaja ketiga Empayar Maurya itu meluaskan kekuasaannya dan seterusnya, memeluk agama Buddha dan memilih jalan damai. Tetapi bagi yang ingin tahu selok-belok empayar ini pasti tertanya-tanya, siapa Asoka di mata sejarah?

Asoka dan Empayar Maurya

Sebelum mengenali maharaja ketiga Empayar Maurya ini, adalah elok kita mengenali terlebih dahulu empayar berkenaan. Empayar Maurya ditubuhkan oleh Chandragupta Maurya yang juga nenda kepada Asoka. Semasa empayar berada di puncak kegemilangannya, Empayar Maurya bukan saja berkuasa di India tetapi juga mempunyai wilayah jajahan di Pakistan, Afghanistan, Bhutan, Nepal, Bangladesh dan sebahagian kawasan di Iran. Kebanyakan aktiviti perluasan kuasa ini berlaku semasa era Maharaja Chandragupta.

Asoka merupakan putera kepada maharaja kedua Empayar Maurya, Bindusara dan Subhadrangi/Dharmma (isteri yang bertaraf rendah di sisi maharaja). Selain mempunyai seorang adik, baginda mempunyai beberapa orang abang tiri. Menurut satu legenda, bagi memastikan tuntutannya terhadap takhta tidak terjejas, Asoka berlawan dan membunuh 99 orang saudaranya demi memastikan takhta Maurya menjadi miliknya. Hanya seorang saja adiknya bernama Vitashoka yang dibiarkan hidup.

Tetapi yang pasti, sejak dari awal Asoka sudah menunjukkan kebijaksanaannya sebagai seorang panglima perang dan pentadbir yang baik. Walau bagaimanapun, berikutan statusnya yang dinyatakan di atas, peluang baginda untuk menaiki takhta agak tipis. Ini berikutan abang-abang tirinya dilihat mempunyai kelebihan untuk mengambilalih takhta. Namun, kemampuan Asoka sudah menimbulkan kecurigaan mereka kerana mereka bimbang ayahanda mereka menyerahkan takhta kepadanya. Dan orang yang bakal mengalami kerugian banyak dari semua ini ialah putera sulung Bindusara, Susima. Ini mendorongnya untuk menghapuskan Asoka dari mencabar tuntutannya ke atas takhta Maurya.

Bagi menjayakan rancangan ini, Susima menyakinkan ayahandanya untuk menghantar Asoka menghapuskan pemberontakan di Taxila. Tetapi plot baginda tidak menjadi kerana sebaik adindanya itu tiba di Taxila, Asoka disambut dengan tangan terbuka oleh penduduk wilayah dan sebarang elemen pemberontakan berjaya dipatahkan tanpa sebarang pertumpahan darah. Susima yang terdesak menghasut Bindusara membuang Asoka dan ini menyebabkan putera raja Maurya itu menghabiskan tempoh dua tahun dalam buangan. Tetapi tempohnya dalam buangan tidak bertahan lama kerana selepas itu, berlaku pemberontakan di wilayah Ujjain yang memaksa Bindusara memanggil semula Asoka. Walaupun berjaya menghapuskan pemberontakan di Ujjain, baginda mengalami kecederaan semasa berperang. Untuk mengelak kecederaannya diketahui Susima, Asoka dirawat secara rahsia oleh sami-sami Buddha. Menurut para sejarawan, ini sebenarnya pertemuan pertama baginda dengan ajaran agama Buddha.

Pada tahun 272 Sebelum Masihi (BC), Bindusara jatuh gering dan mangkat. Kemangkatan baginda menyebabkan berlakunya perebutan takhta antara putera-putera raja Maurya termasuk Asoka dan Susima. Tetapi pada akhirnya, baginda muncul sebagai pemenang dan menduduki takhta pada tahun 269 BC. Selepas menaiki takhta, baginda meneruskan dasar perluasan kuasa Empayar Maurya untuk lapan tahun berikutnya dari Assam di Timur hingga Balochistan di Barat, dari Pamir Knot di Afghanistan di utara hinggalah semenanjung di selatan India kecuali wilayah Tamil Nadu dan Kerala. Ini kerana pada ketika itu, dua wilayah tersebut diperintah oleh tiga kerajaan lama Tamil.

Era awal pemerintahan

Semasa tahun-tahun awal pemerintahannya, baginda mempunyai tabiat panas baran dan tidak berperikemanusiaan. Berdasarkan satu legenda, pada satu ketika Asoka mahu menguji kesetiaan para menterinya dengan memerintahkan mereka memotong semua pokok bunga dan buah serta tidak memotong pokok yang berduri. Bila mendengar perintah Asoka itu, mereka menjadi keliru dan mempersoal arahan baginda. Selepas dipersoal bukan sekali tetapi tiga kali, baginda yang sudah hilang sabar mengeluarkan pedang dari sarungnya dan memenggal lebih 500 menteri yang ada pada ketika itu. Selain ini, Asoka juga dikatakan bertanggungjawab membina ruang seksaan yang dipanggil Neraka Asoka. Binaan ini dibuat atas permintaan pertanda baginda yang baru dilantik Girika dan inspirasi binaan ini diambil dari lima seksaan neraka berdasarkan kepercayaan agama Hindu.

Berdasarkan satu legenda, salah satu mangsa Girika ialah seorang sami Buddha bernama Samudra. Walaupun diseksa berkali-kali oleh Girika, Samudra tidak mengalami sebarang kecederaan dan berita tersebut sampai ke pengetahuan Asoka. Baginda kemudiannya bertemu dengan sami Buddha tersebut di mana baginda disuruh bertaubat dan membina 84,000 stupa berdasarkan ajaran Buddha. Terkesan dengan peristiwa tersebut, baginda bertaubat, merobohkan ruang seksaannya dan membunuh para pertanda yang menjalankan hukuman.

Tetapi kisah Asoka memeluk agama Buddha tidak terhenti di situ saja. Menurut satu lagi versi dan diyakini para sejarawan, peristiwa tersebut berlaku semasa proses perluasan kuasa Empayar Maurya di Kalinga. Selepas berjaya menewaskan Kalinga dan memaksa mereka tunduk dengan kekuasaan Maurya, Asoka pergi ke ibu negeri Kalinga untuk meninjau kemusnahan. Apabila mendapat tahu jumlah mangsa yang terbunuh dan kemusnahan yang melanda kerajaan berkenaan, ini ternyata mengganggu maharaja tersebut. Ini menyebabkan Asoka enggan lagi memilih cara keganasan dan memutuskan memeluk agama Buddha.

Waqaf Saham

Pemerintahan pasca-Kalinga

Selepas Kalinga, baginda boleh dikatakan berkuasa di India kecuali di wilayah selatan. Tidak diketahui apa punca Asoka enggan meneruskan proses perluasan kuasanya di situ tetapi ada berspekulasi ia berkemungkinan berpunca dari peristiwa yang disaksikan baginda semasa di Kalinga. Yang pasti, baginda menghentikan dasar perluasan kuasa dan menjadikan empayarnya sebagai sebuah empayar yang kaya dan makmur untuk tahun-tahun mendatang.

Salah satu edik baginda yang paling terkenal ialah Edik Asoka. Edik yang diukir pada batu-batu dan dinyatakan dalam pelbagai dialek atau bahasa ini menyatakan keinginan baginda yang harus diketahui rakyat. Berikut kandungan Edik Asoka:

1. Kebebasan dan toleransi beragama.
2. Membantu golongan miskin dan orang tua.
3. Menubuhkan pusat perubatan bagi manusia dan haiwan.
4. Taat kepada ibu bapa.
5. Menghormati golongan yang lebih berusia.
6. Bersikap pemurah terhadap pendeta dan ajaran agama.
7. Menanam pokok buah dan teduhan.
8. Menggali perigi-perigi bagi kegunaan para pengembara.

Bagaimanapun, tidak semua menyambut baik edik yang dikeluarkan Asoka ini. Golongan pendeta Brahman misalnya menyifatkan edik berkenaan menyukarkan mereka mengadakan pelbagai upacara keagamaan membabitkan korban binatang. Begitu juga dengan golongan pemburu dan nelayan yang menyifatkan edik berkenaan mengancam sumber mata pencarian mereka. Golongan petani miskin turut menyifatkan edik tersebut menyusahkan mereka dalam membersihkan kawasan kebun dan mengerjakan tanaman mereka.

Cerita tradisi Buddha banyak menceritakan pelbagai legenda tentang Asoka dari peristiwa memeluk agama berkenaan hinggalah sokongan bagi misi dakwah agama berkenaan di Greece, Mesir dan Syria. Satu cerita menunjukkan Asoka menghantar sekumpulan sami Buddha untuk menubuhkan sebuah sekolah bernama Sthaviravada di Sri Lanka pada tahun 240 BC. Bagaimanapun, agak sukar untuk mengesahkan kisah-kisah ini benar-benar berlaku atau tidak kerana cerita-cerita ini suka membesar-besarkan perilaku Asoka sebelum memeluk agama Buddha dan jasanya terhadap agama berkenaan.

Yang pasti, sejarawan yakin Asoka memilih jalan sama yang dilakukan Constantine atau Akhenaten bagi mengukuhkan kekuasaan kerajaan masing-masing: menjadikan agama pilihan mereka sebagai agama rasmi negara atau empayar. Dalam kes Asoka, baginda menjadikan agama Buddha sebagai agama rasmi Empayar Maurya dan menggalakkan aktiviti penyebaran agama berkenaan. Baginda juga dilihat tidak keberatan menerima nasihat para sami Buddha dalam soal pemerintahan. Berdasarkan kajian, agama Buddha pra-era Asoka boleh dianggap kecil dan terhad. Ini dibuktikan menerusi kekurangan bukti arkeologi berkenaan agama Buddha dari peristiwa kematian Gautama Buddha hinggalah era Asoka. Selepas era baginda, banyak bukti yang menunjukkan kewujudan agama berkenaan di India.

Legasi

Mitos dan legenda yang menyelubungi kisah Asoka kemudiannya menjadi model inspirasi dan pemerintahan yang jujur kepada para pemerintah dari Sri Lanka hinggalah Jepun. Misalnya kisah Samudra yang memerintahkan baginda membina 84,000 stupa, kisah tersebut dijadikan inspirasi kepada para pemerintah terkemudian terutama di China dan Jepun yang meniru inisiatif Asoka dalam soal pemerintahan dan keagamaan.

Tetapi jika apa yang diimpikan Asoka itu akan bertahan lama, jawapan kepada soalan itu adalah tidak. Selepas mangkat pada tahun 232 BC, Empayar Maurya hanya dapat bertahan selama 50 tahun sebelum akhirnya binasa. Ini berlaku selepas maharaja terakhir Maurya, Brihadratha dibunuh oleh panglima perangnya sendiri Pushyamitra Shunga semasa baginda memeriksa barisan kehormatan.

Pushyamitra kemudiannya menubuhkan dinastinya sendiri yang wujud dari 185 hingga 75 BC di mana ia hanya dapat memerintah sebahagian kecil wilayah yang pernah membentuk jajahan luas Empayar Maurya. Sementara agama Buddha pula mati selepas kemangkatan Asoka tetapi tersebar di luar India terutama di Asia Timur dan Asia Tenggara sehingga menjadi sebahagian dari agama dunia yang diketahui hari ini.

SUMBER

1. Violatti, Cristian. (2018). Ancient.eu. Ashoka the Great. https://ift.tt/2FWV6kh

2. DHWTY. (2015). Ancient-Origins.net. Ashoka the Great: From Cruel King to Benevolent Buddhist. https://ift.tt/2qhW9Sl

Post a Comment

Previous Post Next Post