1. Halloween adalah sebuah hari perayaan yang disambut oleh masyarakat Kristian pada masa kini yang ditetapkan pada 31 Oktober. Perayaan yang pada mulanya merupakan sebuah sambutan agama pagan, lama-kelamaan ianya diserapkan ke dalam agama Kristian sebagai salah satu bentuk kebudayaan agama mereka.
2. Perlu diketahui sejarah perayaan ini bermula pada 2,000 tahun dahulu yang dimana bangsa Celtic, bangsa yang pernah mendiami tanah yang disempadankan negara moden sekarang iaitu Ireland, United Kingdom dan Perancis utara, menyambut sambutan tahun baru mereka pada 1 November.
(The Archaeology of Celtic Britain and Ireland: C.AD 400 – 1200 oleh Lloyd Robert Laing).
3. Pada hari itu (1 November), bangsa Celtic menandakan hari tersebut merupakan hari terakhir berakhirnya musim panas dan bakal bermulanya musim sejuk yang dipenuhi kegelapan, kesejukan dan musim yang dimana menyebabkan kematian manusia di wilayah berkenaan.
4. Bangsa Celtic percaya bahawasanya pada malam 31 Oktober, benteng penghalang diantara dunia kematian dan dunia kehidupan akan dibuka, dan para roh dari dunia kematian akan mengambil peluang ini untuk kembali ke bumi.
5. Bangsa Celtic yang percaya dengan kehadiran para roh yang bakal mencetuskan kekacauan diantara manusia bahkan merosakkan tanaman menemui sebuah inisiatif untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku iaitu dengan melakukan sebuah upacara yang menghormati dewa-dewi mereka. Upacaya perayaan ini dikenali sebagai Eve of Samhain dan dijalankan oleh para Druid. Sam-hain membawa maksud ‘penghujung musim panas’.
Jadinya, pada petang tersebut (sebelum tibanya malam 31 Oktober), para pendeta Celtic atau lebih dikenali sebagai Druid akan melakukan sebuah ritual kepercayaan mereka dengan membakar unggun api yang dianggap suci ditengah sesebuah kelompok masyarakat. Pada waktu berjalannya ritual tersebut, masyarakat Celtic kuno selalunya mengenakan pakaian/kostum yang diperbuat daripada haiwan (tulang, kulit dan bulu haiwan).
Setelah masyarakat berkumpul di sekitar unggun api, maka mereka dikehendaki mempersembahkan korban mereka kepada dewa-dewi dengan membakar haiwan atau hasil tanaman mereka ke dalam unggun api tersebut. Dengan mempersembahkan korban mereka, maka mereka percaya yang para dewa-dewi akan melindungi bangsa Celtic selama berlangsungnya musim sejuk tanpa sebarang kecelakaan atau kematian.
Sebelum tibanya malam, maka unggun api tersebut dipadamkan pada petang itu juga. Maka pada malam 31 Oktober, unggun api tersebut dinyalakan semula yang menandakan musim sejuk mereka selamat tanpa ancaman bahaya.
(Magic of the Celtic Otherworld: Irish History, Lore and Rituals oleh Steve Blamires).
6. Sehinggalah tiba pada tahun 43 M, empayar Rom berhasil menakluk keseluruhan tanah yang majoritinya didiami oleh bangsa Celtic. Pertembungan diantara agama Kristian yang menjadi agama rasmi empayar Rom dan agama pagan anutan bangsa Celtic selama 400 tahun lamanya menyebabkan sebahagian kebudayaan Celtic diserapkan ke dalam kebudayaan Rom. Tidak terlepas juga dengan perayaan Samhain ini.
7. Empayar Rom mencampurkan perayaan Samhain ke dalam dua buah perayaan mereka iaitu perayaan Ferallia dan Pomona.
Perayaan Ferrallia adalah perayaan bangsa Rom yang menghormati roh orang yang telah meninggal dunia manakala perayaan Pomona merupakan sebuah sambutan yang menghormati Dewi Pomona, iaitu dewi yang menjaga buah-buahan dan pokok.
(Ovid’s Revisions: The Editor as Author oleh Francesca K. A. Martelli & Halloween and Commemorations of the Dead oleh Roseanne Montillo)
8. Setelah mendapat perizinan rasmi daripada kaisar empayar Rom Byzantine Phocas untuk mengubah kuil Pantheon (kuil menyembah dewa agama pagan Rom) ke gereja maka pada tanggal 13 Mei 609 M, Pope Boniface IV menetapkan perayaan pada hari tersebut adalah ‘All Martyrs Day’.
9.Setelah beberapa lama menyambut perayaan All Martyrs Day, maka Pope Gregory III menetapkan pula tarikh perayaan tersebut diubah ke tanggal 1 November dan hari tersebut mula digelar sebagai ‘All Saints Day’.
10. Pada abad ke-9 M, seiring dengan perkembangan kekuasaan empayar Rom dan agama Kristian, maka majoriti masyarakat Celtic yang memegang agama pagan berubah perlahan-perlahan dan menganut agama Kristian.
11. Pada tahun 1000 M, pihak gereja menetapkan pula pada tanggal 2 November sebagai ‘All Souls’ Day’ iaitu hari yang menghormati para roh.
Hari perayaan ‘All Souls’ Day’ masyarakat Celtic yang beragama Kristian hampir menyamai perayaan pagan Samhain iaitu hari tersebut juga diraikan masyarakat dengan menyalakan unggun api yang besar dan masyarakat yang berpakaian sepertimana menyambut perayaan Samhain. Selain itu, Hari Para Saint (All Saints Day) dikenali sebagai All-hallows atau All-hallowmas yang diambil daripada perkataan ‘Alholowmesse’. Lama-kelamaan bangsa Celtic yang beragama Kristian memanggil perayaan All Saints Day sebagai All-Hallows Eve.
Dan dari hari All Hallows Eve sambutan bangsa Celtic ini, ianya mula diserapkan kepada bangsa lain dan pada hari kita semua mengenalinya sebagai Hari Halloween.
Kesimpulannya, Hari Halloween merupakan perayaan yang pada asalnya merupakan sebuah sambutan khusus yang diraikan oleh bangsa Celtic ketika mereka masih memegang agama pagan. Tetapi kerana ianya adalah sebuah perayaan yang turut dilakukan oleh umat Kristian, kita umat Islam haruslah menghormati sambutan sebegini, tetapi janganlah kita sesekali mengorbankan keimanan kita dengan turut menyambut perayaan tersebut. Cukuplah sekadar menghormati, bukannya ikut serta sekaki dengan memasang alasan ‘aku fleksibel’.
Kepala Jack o Lantern kau. Sebab apa? Sebab perayaan ini tidak ada kena mengena dengan bangsa Melayu dan agama Islam.
Saudara-saudara seIslamku, ingatlah ayat suci ini selalu dan sematkan di dalam hati kita untuk diamalkan tanpa segan-silu:
“Katakanlah; Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga tidak akan menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan menyembah sebagaimana caramu menyembah. Kamu juga tidak menyembah sebagaimana caraku menyembah. Bagi kamu agamamu sendiri dan bagiku agamaku sendiri”.
(Al-Kafirun ayat 1-6).
Sumber:
1. Ascension Cosmology oleh TJ Morris.
2. The Archaeology of Celtic Britain and Ireland: C.AD 400 – 1200 oleh Lloyd Robert Laing.
3. Magic of the Celtic Otherworld: Irish History, Lore and Rituals oleh Steve Blamires.
4. Ovid’s Revisions: The Editor as Author oleh Francesca K. A. Martelli.
5. Halloween and Commemorations of the Dead oleh Roseanne Montillo