Selepas Tumbangnya Melaka…

Selepas tersebarnya khabar kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kisah-kisah tentang kekayaan dan kemegahan Melaka disahkan kebenarannya. Ia kemudiannya terus tersebar luas ke seluruh dunia terutamanya rantau Eropah.

Khabar dari Melaka ketika itu secara automatik memberi gambaran bahawa ia turut mencerminkan juga tentang kemewahan dan kemakmuran kerajaan-kerajaan Melayu lain di nusantara ketika itu, menarik minat lebih ramai lagi utusan empayar Eropah untuk datang sendiri bagi melihat apa yang dikatakan pelayar dan penjelajah mereka tentang cerita-cerita eksotika Nusantara.

Perlu diperjelaskan dahulu, antara hikmah kejatuhan Kota Melaka, ia tidaklah pula menjatuhkan kerajaan Melayu lain di sekitar Tanah Melayu dan Nusantara ketika itu.

Ia malah menjadikan pusat pentadbiran kerajaan Melayu Islam lain berkembang dan meluaskan pengaruh, bertebaran terus ke segenap Nusantara. Kejatuhan Melaka malah menyebarluaskan potensi waris-waris dari Melaka sendiri untuk membuka kerajaan Melayu Islam yang baharu di tempat lain.

Alhamdulillah, selepas Melaka, kerajaan Johor, Pahang, Perak dan Sumatera dibuka, menjadi kaya dan makmur atas rahmatNya memberikan kesuburan tanah dan kekayaan hasil bumi, strategik kedudukan geografi juga pentadbiran kerajaan yang adil, efisien selain aktiviti ekonomi juga perdagangan antarabangsa yang rancak.

Pusat pentadbiran kerajaan Melayu pasca kejatuhan Melaka memang telah berpindah selepas itu. Perkembangan dalam tempoh 100 tahun pertama pasca kejatuhan Melaka ke tangan Portugis tidak dinafikan memacu perkembangan dan kemajuan banyak kerajaan Melayu Islam di kepulauan Nusantara.

Namun perkembangan ini tetap dicemburui Eropah. Selepas Portugis menjajah Melaka, Belanda misalnya melalui VOC cuba mendapatkan laba dari kepulauan Jawa, Sulawesi dan kemudiannya Maluku. Mereka menjajah dan menjarah kerajaan dan tanah subur di situ untuk kepentingan ekonomi mereka sendiri, sambil memperhambakan sekalian rakyat asalnya.

Kerajaan Eropah lain dengan titah raja masing-masing tidak mahu ketinggalan melihat atau mengaut laba demi kepentingan sendiri di atas kehebatan kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara ini.

Perancis misalnya tidak mahu ketinggalan. Mensasarkan Aceh demi potensi perdagangan, selain mahu menghalang perluasan kuasa oleh VOC Belanda di Nusantara.

Selepas Perjanjian Angoulême ditandatangani pada 1619, konflik antara Raja Louis XIII dengan ibunya sendiri iaitu Permaisuri Marie de Medici berakhir. Tamatnya perang saudara di Perancis ini memberi peluang kepada mereka untuk memberi fokus kepada hubungan antarabangsa dan perdagangan luar negara dengan kerajaan lain melalui jalan laut.

Seorang Laksamana Perancis, Augustin de Beaulieu telah dititahkan oleh Raja Louis XIII untuk membawa armada Perancis meneroka hingga ke Asia Tenggara dan Nusantara, ketika itu dikenali sebagai Hindia Timur (East Indies).

Ia bertujuan untuk mencari prospek laluan perdagangan baharu bagi Perancis yang sedang pulih dari kesan perang saudara malah lebih penting lagi, ekspedisi bersenjata ini dikerah untuk menghalang perkembangan jalan laut oleh Belanda.

Ekspedisi ini membawa Augustin de Beaulieu ke Aceh pada 1621 (ada rujukan menulis 1620). Tiga kapalnya iaitu de Montmorence, de Esperance dan Hermitage berlabuh di Aceh, membawa bersamanya utusan surat dan hadiah-hadiah khusus dari Raja Louis XIII untuk Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, raja yang memerintah kerajaan Aceh Darussalam ketika itu.

Di dalam laporan Laksamana Augustin, ada ditulis tentang apa yang ditemukan dan dilihat oleh beliau sendiri sepanjang ekspedisi mereka berlabuh di Aceh;

“Bahawa banyak sekali penduduk Aceh yang tahu membaca dan mengira. Mereka juga menggemari sastera, pembersih yang jelas dapat dilihat melalui pakaian dan rumahnya. Kemahiran bertukang adalah bakat orang Aceh, pertukangan besi, tembaga dan membina kapal, kepakaran mereka amat mengagumkan. Di laut, berdirinya kapal-kapal perang Aceh yang jauh lebih besar dari kapal-kapal perang yang pernah dibina oleh orang-orang Eropah pada zaman itu.”

Waqaf Saham

“Telah kusaksikan sendiri, bahawa kapal pertengahan sahaja ada 120 kaki panjangnya. Orang Aceh amatlah pakar membuat kapal perang, cantik tapi berat, sangat lebar dan tinggi pula. Di dalamnya terdapat bilik-bilik. Dayung-dayungnya panjang dan ringan. Setiap dayung dikayuh dua orang. Kapal-kapal perang itu dipelihara baik-baik sehabis perang. Setiap kapal disediakan beberapa meriam besar.”

“Setiap kapal boleh membawa 700 hingga 800 tentera, dan mereka mampu pula bertugas berdayung berganti-ganti kalau angin tidak kuat. Gajah-gajah cukup banyak. Haiwan ini amat penting sekali dan diperlukan di dalam peperangan. Kapal-kapal yang akan dinaikkan ke pantai untuk digalang dan disimpan, gajahlah yang menariknya. Ditaksir tidak kurang daripada 900 ekor banyaknya gajah kepunyaan Sultan sendiri. Semuanya tahu menjalankan tugas di dalam peperangan, sudah terlatih untuk lari, membelok, berhenti, duduk berlindung dan sebagainya;”

“Mudah sahaja dijumpai tukang-tukang besi yang ahli, apa lagi tukang-tukang membina kapal banyak sekali. Pun banyak sekali dijumpai tukang-tukang yang pandai menuang tembaga. Sebagai pegawai Sultan sahaja di dalam istana (Istana Darud Dunia) didapati tidak kurang daripada 300 orang tukang emas, dan banyak sekali tukang-tukang kayu. Ada sejumlah 1500 hamba sahaja yang cukup dipercayai dan yang segera dapat menjalankan perintah dengan tanpa berfikir-fikir dan bimbang. Mereka itu kebanyakan asal dari orang asing (Habsyi).”

“Istana dikelilingi oleh lapangan kira-kira satu setengah batu berbentuk bulat telur. Melewati istana mengalir sungai yang airnya jernih sekali. Kiri kanannya banyak tangga untuk turun mandi berkecimpung ke dalamnya. Sebelum sampai ke ruang istana sebenarnya, harus dilalui dahulu empat buah pintu gerbang. Terakhir sengaja dipertebal temboknya daripada batu-batu tebalnya 50 langkah. Di empat penjuru didapati empat buah menara tinggi. Sesudah dinding terakhir, didapati lapangan luas. Di situlah nampak sejumlah 4000 tentera dn 300 gajah yang bertugas di dalam.”

Laksamana Augustin de Beaulieu menerangkan dengan terperinci struktur sosio budaya dan latar belakang kemajuan ekonomi Aceh ketika itu. Dinyatakan juga kekgumannya dengan binaan kapal dan Istana Darud Dunia semasa kegemilangan zaman emas Aceh semasa baginda Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam bersemayam di atas takhta.

Di akhir ekspedisi ini de Beaulieu berjaya mendapatkan kebenaran perdagangan malah diberikan kebenaran untuk membina kilang di Aceh demi hubungan ekonomi antara dua kerajaan ini.

Resam kolonial Barat datang ke rantau sebelah sini meninjau peluang perdagangan dan ekonomi, datang dengan ekspedisi dan armada kapal, membawa pulang cerita dan peluang pelbagai, prospek untuk tanah air mereka sendiri.

Kebanyakannya hadir begitulah jalan ceritanya. Portugis dan Belanda tiba juga asalnya mahu berdagang juga. Misi Perancis ini juga lebih kurang sama, namun walaupun terdapat perselisihan dan konflik sesama empayar Eropah ini, namun tujuan asal mereka sama iaitu untuk meluaskan pengaruh, ideologi dan agama. Misi gold, gospel dan glory.

Perancis misalnya bertembung dengan armada Belanda di Selat Melaka dalam satu pertempuran di perairan berhampiran pantai Sumatera semasa ekspedisi Augustin de Beaulieu. Namun selepas sebuah kapal mereka ditawan Belanda, mereka kembali berunding lantas setuju menandatangani Perjanjian Compiègne yang menghentikan konflik sesama mereka di Selat Melaka demi kepentingan masing-masing di rantau ini.

Ini jelas memperlihatkan mereka bersedia bersatu dengan objektif yang kita semua tahu di akhirnya meleraikan kekuasaan kerajaan Melayu Islam ini, memperhambakan rakyatnya dan menjarah kekayaan buminya secara literal.

Kisah-kisah kehebatan dan kemewahan kerajaan Melayu Islam di Nusantara ini dicemburui mereka dahulu dan kini yang mahu memberi nilai baharu di atas keharmonian bermasyarakat dan kemakmuran sosial menurut terma yang mereka sendiri ciptakan ke atas kita.

Maksudnya, jika naratif ‘gold, gospel and glory’ menjadi panduan kerajaan asing ini menjajah dan menjarah tanah dan hak milik penduduk asal Nusantara ini suatu ketika dahulu, naratif moden hari ini menggunakan pula naratif ‘hak asasi manusia’ dan ‘kesamarataan sosial’ dengan nilaian kaca mata mereka sendiri.

Senjata ideologi dan pemahaman sebegini diberi tafsiran dari kacamata dari waris penjajah dan tuan putih yang sama hadir dengan penuh muslihat dan musibat suatu ketika lama dahulu. Ia senjata yang lebih hebat, tajam dan bisa dari meriam dan peluru bedil yang pernah mereka guna ke atas kita semua.

Hari ini, penjajah moden tidak lagi belayar dengan armada dan kapal-kapal besar, tetapi cukup dengan layaran media sosial dan internet membawa risalah dan pengaruh yang mahukan penyertaan kita atas tiket pengiktirfan dunia moden sejagat.

Andai tidak berwaspada dan berjaga-jaga, kita dan semua sekali bakal jadi ‘mangsa’ semula.

Tanya pada diri sendiri, jika para penjajah ini mendatangi kerajaan-kerajaan Melayu Islam sebagaimana Portugis mendatangi Melaka, Belanda pula mendatangi Jawa, Sulawesi dan Maluku dan Perancis kemudiannya mendatangi Aceh Darussalam ketika era kegemilangan dan zaman emas kerajaan Melayu Islam ini, apa pula yang menghalang mereka untuk sekali lagi hadir ketika Melayu dan Islam di tanah ini berada pada tahap rendah dan sedang retak menanti belah?

RUJUKAN:

1. Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, Suzana Haji Othman, 2014

2. Laporan Perjalanan Augustin de Beaulieu diterbitkan kembali di dalam J. Jacobs, di dalam. Het Familie en Kampongleven op Groot Atjeh. Leiden: E.J. Brill, 1894

3. Early Kingdoms: Indonesian Archipelago & The Malay Peninsula, Paul Michel Munoz, 2006

*Peta “Achem” (Aceh) di bawah adalah karya Jacques Nicolas Bellin (1703-1772), seorang jurupeta (cartographer), ahli hidrografi diRaja, jurutera Tentera Laut Perancis dan ahli Persatuan diRaja.

Post a Comment

Previous Post Next Post