Mimpi Jadi Pendakwah Islam, Lelaki Cina Ini Nekad Ucap Dua Kalimah Syahadah


KOTA BHARU – Kerap mengalami mimpi ditauliah sebagai penceramah agama dan menjejakkan kaki ke Makkah, rupanya satu petunjuk Allah membuatkan seorang pemuda Cina nekad memeluk Islam.

Pada 14 Mei tahun lalu, Mohd Dylan Yap Abdullah, 24, atau nama sebenarnya Yap Sheng Wei, melafazkan dua kalimah syahadah selepas lapan tahun ‘jatuh cinta dalam diam’ terhadap Islam.

Mohd Dylan kini sedang mendalami Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa, di sini mengakui ketenangan luar biasa dialami sebaik bergelar seorang Muslim.

Katanya, tertarik terhadap Islam ketika belajar di sekolah menengah dan seorang rakannya pernah menghadiahkan sebuah buku mengenai kisah 25 nabi dan rasul.

“Rakan meminta saya memahami apa yang ada dalam buku itu dan sehari demi sehari selepas membacanya, tarikan semakin kuat untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai Islam.

“Dalam buku itu ada dinyatakan mengenai peraturan dalam Islam, solat lima waktu dan segala yang baik mengenai Islam. Namun ketika itu pemahaman saya masih belum jelas dan tiada sesiapa yang boleh dirujuk sehingga tahun lalu saya diberi petunjuk oleh Allah melalui mimpi yang sama selama empat bulan membuatkan saya nekad memeluk Islam.

“Sebaik bergelar saudara baharu, saya belajar mengenai Islam di sebuah surau berhampiran rumah di Sepang, Selangor selama enam bulan sebelum ditawarkan ke IDIP,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.


Anak bongsu dari tiga beradik itu, berkata tindakannya memeluk Islam masih belum diketahui secara jelas oleh ahli keluarga sebaliknya hanya mengetahui hasratnya untuk bertukar agama sahaja.

Sebelum ini, dia pernah menyuarakan hasrat kepada keluarga untuk memeluk Islam tetapi ditentang hebat terutama ibunya yang beberapa kali mengugut untuk membunuh diri jika hasrat diteruskan.


“Bagaimanapun, percaturan Allah sudah ditetapkan saya tetap nekad memeluk Islam,” katanya yang meletakkan jawatan sebagai penyelia di sebuah pasar raya di Selangor demi menuntut ilmu di IDIP yang memakan masa selama tiga tahun.

Mohd Dylan sudah bertunang dengan seorang gadis dari Klang, Selangor, berkata ketika cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini dia pulang ke rumahnya, namun agak menyedihkan kerana layanan diterima sudah tidak semesra dulu.

Dia juga hanya mendiamkan diri ketika diasak keluarga yang bertanyakan sama ada dirinya sudah memeluk Islam atau belum kerana gusar dengan ugutan ibunya sebelum ini.

“Seorang ibu saudara saya, merestui tindakan saya bertukar agama malah menasihati agar memilih wanita yang baik dan berakhlak mulia untuk dijadikan isteri suatu hari nanti.

“Saya juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Jordan suatu hari nanti dan jika diberi peluang, ingin berkhidmat di mana-mana institusi agama Islam,” katanya

Sumber: https://ift.tt/2TP95R3


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post