Tak Perlu Sedih Anak Tak Ramai, Janji Kita Beri Yang Terbaik Untuk Mereka

Gambar Sekadar Hiasan

Zaman sekarang ini anak tak ramai sangat pun orang tanya-tanya, tetapi tak boleh cepat melatah atau ambil hati. Masing-masing punya perancangan hidup.

Kalau nak dibandingkan dengan orang dulu-dulu memang berbeza sangat, anak paling sedikit pun 5-6 orang. Dan purata paling banyak 12 orang. Memang kagum dengan mak ayah dulu. Tetapi zaman semakin maju, ada banyak sebab mak ayah zaman sekarang merancang bila bab anak.

Mungkin pandangan mak ayah di luar sana ada persamaan dengan pendapat saudara Najmi Nawawi ini.

KENAPA ANAK TAK RAMAI?

Macam aku sendiri alhamdulillah sudah dikurniakan dua orang cahaya mata comel, Maryam Deen dan Aisyah Deen. Setakat ini belum lagi memiliki perancangan untuk tambah anak. Meramaikan anak ialah sesuatu yang dianjurkan sahaja.

Kalau tidak ramai, tiada masalah, dan tidak dicela pun dalam syarak. Tetapi memanusiakan, menginsankan, dan mengkhalifahkan setiap orang anak adalah sesuatu yang wajib. Jika tidak tertunai, ia dicela oleh syarak.

Zaman sekarang sudah tidak sama dengan dulu, aku akan cuba huraikan kenapa tidak perlu ramaikan anak jika tidak boleh bagi yang terbaik kepada setiap daripada mereka.


1. Kualiti lebih utama dari kuantiti

Kita hidup di zaman yang penuh cabaran dan dugaan. Anak-anak perlu dijaga dan dibentuk dengan sebaik mungkin sejak mereka masih kecil. Dikhuatiri dengan bilangan anak yang ramai membuatkan kita gagal memastikan pembentukan (tarbiah) yang baik khususnya dalam hal pendidikan sempurna bagi setiap dari mereka. Kita tidak mahu anak-anak kita sekadar menjadi buih-buih di lautan.

2. Anak yang lebih berjaya

Biarlah anak tak ramai, tetapi kita akan pastikan satu hari nanti mereka akan ada ribuan orang yang bekerja di bawah mereka. Dengan perhatian dan pembentukan individu lebih sempurna pasti akan membawa impak kepada pembentukan anak yang lebih hebat.

3. Kos mendapatkan lebih mahal

Tidak dinafikan kos untuk membesarkan seorang anak pun sudah sangat mahal. Apatah lagi buat yang tinggal di kawasan bandar yang mana kos pendidikan, jagaan, perkakasan yang jauh berganda dari harga biasa.

Hal ini memang perlu dipandang serius. Kerana kegagalan dalam merancang ekonomi keluarga akan membawa kepada kesan negatif yang lebih teruk kepada pembentukan anak-anak.

Bila anak tak ramai, lebih mudah untuk kita menguruskan ekonomi keluarga kerana pembahagian setiap ahli keluarga lebih sistematik dan keperluan anak-anak lebih mudah untuk dilengkapi tanpa mengurangkan keperluan anak yang lain.

4. Masa yang berkualiti

Aku yakin masa ialah antara aspek terpenting dalam pembentukan anak-anak. Masa dan perhatian yang kita berikan kepada mereka ialah sinonim dengan kasih sayang yang dicurahkan.

Bahkan tidaklah keterlaluan jika aku katakan, tanpa masa, maka makin kuranglah kasih sayang dan perhatian yang boleh dicurahkan. Jika kedua-dua ibu bapa sibuk bekerja, keadaan pastinya makin tidak baik, dan bayangkan jika anak pula ramai. Pasti tidak terkejar, dan anak yang kehausan kasih sayang cenderung menagihnya dari tempat lain.

5. Isteri bukan kedai makan

Kalau dulu kita boleh suka-suka order anak sampai 11 orang untuk cukupkan satu team bola. Namun apabila memikirkan risiko yang isteri hadapi seperti emboli udara, rahim pecah, pendarahan dan banyak lagi perlu dirisaukan.

Pasti membuatkan kita tidak sanggup untuk membebankan isteri tersayang. Bahkan setiap kali mengandung, sebenarnya dua nyawa berhadapan risiko, iaitu nyawa isteri dan juga anak yang dikandung. Belum lagi cerita tentang depresi yang sering terjadi kepada ibu-ibu selepas bersalin.

6. Zaman sudah tidak sama

Kalau dulu, kita kerja mungkin dekat dengan rumah. Saudara mara juga ramai yang tinggal berdekatan untuk membantu sekiranya diperlukan. Zaman sekarang, ramai yang hidup berdikari dengan keluarga yang baru dibina jauh dari ahli keluarga terdekat.

Semuanya bergantung pada mereka, jika balik kerja lambat, tiada yang boleh tolong ambilkan anak. Jika ada kecemasan, tiada yang boleh tolong tengokkan anak. Bilangan anak yang ramai ditambah dengan kekangan masa pasti akan memberi kesan negatif kepada pembentukan anak-anak.

7. Suami yang tak rajin bantu isteri

Masih ramai golongan ini (suami) yang masih mempunyai tanggapan bahawa kerja-kerja rumah dan kerja-kerja menguruskan anak ialah kerja isteri sepenuhnya. Membantu isteri jauh sekali, dan ini akan memberi bebanan kepada mental dan fizikal isteri jika memiliki anak yang ramai.

Sumber: https://ift.tt/2q1CbOY


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post