Sabak Bernama – Seorang suami yang berang selepas mendapat tahu isterinya dirogol bertindak nekad bertemu dengan lelaki berusia 27 tahun itu sebelum memukul hingga menyebabkannya mati.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Ahad lalu, suspek dan anaknya bertemu mangsa di sebuah stesen minyak di Sungai Besar sebelum bertindak menumbuk dan memukul mangsa menggunakan getah paip.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai masuk ke rumah suspek dan merogol wanita terbabit sebanyak dua kali di sebuah bilik tingkat bawah rumah itu kira-kira jam 3 hingga 5.30 pagi, 15 April lalu.
“Kejadian itu menyebabkan suspek hilang pertimbangan dan membelasah mangsa di stesen minyak berkenaan.
“Tak cukup itu, suspek kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumahnya di Parit 4 Sungai besar,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dikurung dan dibelasah suspek sambil disaksikan isteri dan keluarganya.
“Semasa mangsa berada dalam bilik, kaki mangsa diikat dengan tali getah dan turut diterajang serta dipukul menggunakan getah paip,” katanya.
Nor Azmi berkata, seorang anak suspek kemudian menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian rogol melibatkan ibu tirinya yang berusia 25 tahun.
“Mangsa kemudiannya dibawa Unit Peronda Polis (MPV) ke Balai Polis Sungai Besar. Semasa anggota MPV membawanya ke balai polis, mangsa masih hidup.
“Bagaimanapun, ketika polis mengambil keterangan mangsa kira-kira jam 3.45 pagi hari sama, lelaki itu tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala iaitu melecet di bahagian dahi, lebam pada mata dan luka di bibir.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam mendapati punca kematian mangsa disebabkan pendarahan dalaman.
“Sehubungan itu, empat lelaki melibatkan suspek utama dan dua anaknya serta seorang anak angkat berusia lingkungan 20 hingga 23 tahun ditahan reman sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes rogol mengikut Seksyen 376. – Bernama
Tags:
OMG