Seorang pengutip tin terpakai ditahan kerana dipercayai membunuh adiknya di sebuah rumah di Sikamat dekat sini, malam tadi.
Lelaki berusia 40 tahun itu ditangkap selepas membuat laporan polis mengenai kematian adiknya yang berusia 37 tahun di Balai Polis Jalan Cambell di sini, kira-kira jam 9.15 pagi ini.
Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki itu mengaku menyebabkan adiknya tidak sedarkan diri akibat perselisihan faham, kira-kira jam 11 malam tadi.
Katanya, kejadian itu dipercayai bermula apabila adik lelaki itu yang mempunyai masalah mental dimarahi kerana buang air kecil dalam seluar.
“Suspek juga marah kerana adiknya enggan mendengar arahannya supaya naik ke bilik di tingkat atas rumah dua tingkat itu. Ini menyebabkannya menendang badan dan menumbuk kepala adiknya yang kemudian pergi tidur,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun pada pagi ini, Muhamad Zaki berkata, suspek mendapati adiknya tidak sedarkan diri dan membuat laporan polis.
Katanya, ketika kejadian hanya dua beradik itu berada di rumah kerana ahli keluarga lain berada di Johor.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber: BH Online