Lelaki terengganu kahwin muda bakal dapat tanah dan bantuan bina rumah diberi kerajaan

Kerajaan negeri bercadang memberi lot tanah dan bantuan membina rumah kepada pemuda berumur 21 tahun ke atas yang berkahwin.

Kerajaan Terengganu bercadang memberi lot tanah dan bantuan membina rumah kepada pemuda berumur 21 tahun ke atas yang berkahwin. — Foto fail

Perkara ini dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepengunaan Negeri, Nawi Mohd yang berkata sebanyak 500 lot tanah di dua kawasan yang masih dirahsiakan lokasinya disediakan untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata perkara tersebut akan mula dilaksanakan tidak lama lagi, namun mereka perlu memenuhi syarat utama seperti telah berkahwin, merupakan anak negeri ini dan tidak mempunyai rumah serta tanah sendiri.

“Lebih menggembirakan apabila tanah lot tersebut mungkin dijadikan tanah pertanian untuk membantu mereka menjana pendapatan.

“Peluang ini dibuka kepada mereka asalkan mereka bersedia untuk tinggal di tanah yang dianugerah dan menjalankan aktiviti pertanian,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG, Sekolah Kebangsaan Lubok Kawah di sini hari ini.

Nawi berkata mereka yang berminat boleh mendapatkan borang daripada Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut atau datang sendiri untuk berjumpa dengannya mulai sekarang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan telah meluluskan pembinaan lebuh raya dari Kuala Berang ke Keruak, Besut melalui Gunung Bongsu tahun ini.

Katanya dengan pembinaan lebuh raya itu, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada penduduk Hulu Besut dalam bidang ekonomi. — Bernama

Sumber: Projek MMO



Sumber Lelaki terengganu kahwin muda bakal dapat tanah dan bantuan bina rumah diberi kerajaan

Post a Comment

Previous Post Next Post