Pemuda UMNO Selangor mengeluh nak rampas selangor tapi pusat tak bagi duit

Pemuda Umno Selangor menjelaskan mereka mahu mengembalikan negeri itu kepada Barisan Nasional (BN) namun tiada dana menyokong gerakan itu.

Pemuda Umno gesa ibu pejabat menghulur dana bantu rampas Selangor. Foto menunjukkan perwakilan menyertai perhimpunan parti di PWTC pada 26 November 2014. — Foto oleh Yusof Mat Isa

Ketuanya Zainuri Zainal berkata berbeza dengan ketua bahagian yang menerima peruntukan, mereka cenderung mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk aktiviti tertentu.

“Nak suruh kita bekerja, tapi minyak tidak berisi, bagaimana nak bergerak? Ini masalah Pemuda Selangor hadapi.

“Orang tak tahu, sampai ada yang berhutang. Kita tidak ada peruntukan seperti ketua bahagian tapi kita sanggup keluarkan duit poket sendiri buat program.

“Himpunan merah itu, kita keluarkan baju, dapat (duit) dari mana? Ketua Pemuda keluar duit sendiri, beri kepada pemuda yang semangat nak pergi,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainuri berkata ibu pejabat parti seharusnya memahami kekangan yang mereka hadapi agar BN mampu menawan semula Selangor.

Katanya, Pemuda sanggup bekerja keras asalkan menerima peruntukan dan sokongan yang diperlukan.

“Kita memang nak membantu. Asas penubuhan Pemuda pun untuk membantu cawangan dan bahagian.

“Tetapi dalam masa sama, yang atas (Umno pusat) pun kenalah bantu yang di bawah.

“Tidaklah boleh harapkan Pemuda sahaja. Kita (Pemuda) tiada peruntukan. Jadi, mereka kena bantu kitalah,” beliau dilaporkan berkata.

Mengenai gerak kerja untuk pilihan raya umum akan datang, Zainuri berkata parti pemerintah Selangor dilihat lebih agresif mendekati kumpulan sasaran.

Katanya, Umno dan BN perlu dijenamakan semula agar pengundi baharu terbuka memilih mereka sebagai kerajaan negeri akan datang.

“Trend sekarang ini, kalau kita guna air liur, air liurlah kita dapat. Kalau kita lihat pihak belah sana, sanggup berbelanja lebih untuk terus kepada kumpulan sasaran.

“Sasarannya untuk mendapatkan pengundi. Kita bantu daftar pengundi tapi kita tidak tahu mereka undi siapa, jadi kita kena bawa jenama kita.

“Jenama kita (pula) orang sedang tidak sedap (suka). Jadi kenalah jenamakan semula, cantikkan balik,” katanya kepada akhbar itu.

 

Sumber: Projek MMO



Sumber Pemuda UMNO Selangor mengeluh nak rampas selangor tapi pusat tak bagi duit

Post a Comment

Previous Post Next Post