Sultan Johor sedia dedah siapa yang tawarkan RM2 juta untuk gelaran Tan Sri

Ini Johor… kami ada harga diri. Anda tidak boleh beli anugerah dan gela­ran dengan wang ringgit.”

Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menegaskan bahawa peng­anugerahan gelaran serta darjah kebesaran dari negeri ini bukan untuk dijual beli.

Justeru, baginda bersedia men­dedahkan maklumat kepa­da Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­ngenai orang tengah yang cuba merasuah bagi mendapatkan gelaran Tan Sri.

Baginda mendedahkan telah menerima tawaran sebanyak RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mahu SPRM datang menghadap saya segera bagi menyiasat perkara ini,” titah Sultan Ibrahim dalam catatan terbaharu di laman sosial Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Johor sentiasa tegas dalam pengurniaan gelaran Datuk dan memberi amaran bahawa penganugerahan gela­ran serta darjah kebesaran dari ne­geri itu bukan untuk dijual beli.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa penganugerahan darjah dan gelaran perlu melalui proses penapisan yang ketat oleh kerajaan negeri, Jumaah Majlis Diraja Johor, anggota kerabat diraja Johor selain menyiasat latar belakang gaya hidup calon serta penapisan keselamatan oleh pihak polis.

Sultan Ibrahim dilaporkan menyebut bahawa proses tapisan yang ketat telahpun dijalankan semasa pemerintahan Almarhum ayahanda baginda sambil menegaskan bahawa pengurniaan gelaran adalah le­bih sukar semasa pemerintahan baginda sekarang.

Sumber: Utusan Online



Sumber Sultan Johor sedia dedah siapa yang tawarkan RM2 juta untuk gelaran Tan Sri

Post a Comment

Previous Post Next Post