Azizulhasni Awang berjanji akan tidur dengan jersi pemenang dan memakainya sehingga pulang ke Malaysia selepas meraih emas pertama dalam acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, malam tadi.
Pemenang gangsa Olimpik Rio berusia 29 tahun itu melakukan ‘wheelie’ di garisan penamat dan memegang bendera Malaysia selepas memenangni acara keirin itu.
“Selepas melepasi garisan penamat, saya tidak melihat sesiapa di kiri atau kanan saya,” katanya yang sebak ketika bercakap dengan media di Velodrom Hong Kong.
“Saya hanya menunggu serta memerhati papan mata dan tidak percaya apabila melihat nama saya di tempat pertama… ia seperti mimpi,” katanya.
Kemenangan malam tadi mengakhiri penantian 10 tahun di Kejohanan Trek Dunia bagi Azizulhasni yang juga dikenali dengan gelaran The Pocketrocket Man.
Katanya, kemenangan itu hasil rejim latihan tidak henti-henti dan kepercayaan diri.
“Saya tidak pernah berhenti mencuba, saya terus mencuba. Saya bekerja lebih keras dalam latihan. Kadang-kadang saya termuntah… kerana saya benar-benar mahu menjadi juara dunia.
“Saya tidak mahu mengakhiri kerjaya saya di tempat kedua atau ketiga jadi saya berjanji kepada diri saya sendiri untuk terus berusaha kerana saya tahu jika saya tidak berputus asa kemenangan akan menjadi milik saya,” katanya.
Azizulhasni berkata, selepas meraih jersi pemenang itu, beliau tidak akan tergesa-gesa menanggalkannya.
“Saya pasti akan tidur dengan jersi ini malam ini.
“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya akan memakainya juga. Jika anda tidak percaya saya, saya akan mengambil gambar dan meletakkannya di Instagram saya,” katanya kepada AFP.
Sumber: Metro
Sumber Setelah 10 tahun! The Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang menang pingat emas pertama di Kejohanan Basikal Trek Dunia 2017