“Bila tenung dinding tu lama-lama, saya sebak” – Air mata pengantin jatuh ketika tertenung gambar ayah yang sudah meninggal dunia

Dinding itu lama ditenung seorang wanita yang jarinya penuh berinai dari atas pelamin, mulanya dia tersenyum namun kemudian perasaan bertukar sebak dan penuh beremosi.

Walaupun suami yang baharu dinikahinya berada di sisi, namun ia tidak dapat menghalang air matanya berguguran apabila memandang bingkai gambar yang digantung pada dinding itu.

“Masa tu saya dan suami ada sesi fotografi di atas pelamin. Masa jurugambar membetulkan ‘setting’ pada kamera, saya terpandang beberapa bingkai gambar yang digantung pada dinding dekat pelamin.

“Ada gambar kakak kahwin. Bila saya tengok ayah kat gambar tu. Saya sebak sebab ayah dah tak ada lagi, rasa terkilan sebab tak sempat lihat saya kahwin,” kata Linda Asmawati Iskandar kepada mStar Online.

 

Linda (kanan) dan suami bergambar bersama bingkai gambar yang memaparkan wajah arwah bapanya.

Gambar perkahwinannya termasuk ‘bergambar’ bersama bingkai gambar yang memaparkan ayahnya tular selepas dimuat naik di Facebook ‘Dzul Affandi Roslan’.

Wanita berusia 23 tahun itu berkata, gambar itu menunjukkan dia bersama ibu bapanya semasa sesi konvokesyen di sebuah institut pengajian tinggi pada akhir 2015.

Bapanya, Allahyarham Iskandar Omar meninggal pada 1 Mei tahun lalu akibat sakit jantung dan dia bersyukur berada di saat bapanya menghembuskan nafas terakhir.

“Dulu, ayah ada minta saya supaya cepat-cepat kahwin, ayah kata dia nak tengok saya berumah tangga. Tapi tak sangka ayah pergi dulu, Tuhan lebih sayangkan ayah.

“Sebab tu bila terpandang gambar yang ada ayah, saya sebak. Saya ambil keputusan untuk bergambar bersama bingkai gambar tu kerana bagi saya, walaupun ayah dah tak ada, dia sentiasa di hati saya. Saya peluk kuat-kuat bingkai gambar tu,” kata Linda yang berasal dari Jasin, Melaka.

 

Hanya tinggal kenangan.

Walaupun bapanya tidak berkesempatan melihat dia berkahwin, namun anak bongsu daripada empat beradik ini masih mengingati pesanan bapanya supaya sentiasa menjaga diri dan menjadi seorang isteri bertanggungjawab.

“Masa bakal suami merancang untuk menghantar rombongan merisik tahun lalu, ayah diberitahu mengenai perkara itu ketika dia terlantar di hospital. Alhamdulillah, ayah izinkan saya bersama lelaki yang kini menjadi suami saya,” katanya.

Mengenai kenangan manis bersama bapa, Linda tiba-tiba sebak dan diam seketika tetapi tidak lama kemudian menjawab ringkas: “Banyak kenangan bersama ayah.”

Namun kata Linda, dia sentiasa teringat setiap kali menjamu masakan Tom Yam.

“Arwah ayah suka makan Tom Yam. Walaupun kasih sayang saya pada arwah ayah tidak pernah luntur dan hidup perlu diteruskan tetapi bila makan Tom Yam, buatkan saya teringat dia,” katanya.

Sumber: Mstar



Sumber “Bila tenung dinding tu lama-lama, saya sebak” – Air mata pengantin jatuh ketika tertenung gambar ayah yang sudah meninggal dunia

Post a Comment

Previous Post Next Post