Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menegaskan tiada unsur penipuan dalam kaedah pengiraan harga runcit petrol dan diesel yang dibuat secara mingguan ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pengiraan dan penentuan itu dibuat mengikut beberapa formula yang ditetapkan termasuk mengambil kira purata harga minyak dunia dan kedudukan mata wang negara.
“Perubahan harga minyak mingguan mengikut harga pasaran dunia.
“Kalau hari ini harga minyak dunia turun tidak semestinya esok kita akan turunkannya kerana pengiraan sebelum penentuan harga pasaran di negara (kita) adalah mengikut purata harga (pasaran dunia) untuk seminggu.
“Selain itu juga, kami juga perlu lihat mata wang negara ketika urusan berkenaan (membeli minyak).
“Kalau rendah kita terpaksa membeli minyak pada harga yang mahal dan begitulah sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jelutong di Batu Feringghi dekat sini, hari ini.
Hamzah yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengulas laporan akhbar berhubung kenaikan harga petrol sebanyak tiga kali pada bulan ini menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai berikutan harga minyak mentah di peringkat global didapati semakin menurun.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun dilaporkan berkata situasi tersebut jelas berlawanan antara satu sama lain dan menunjukkan seolah-olah penurunan harga minyak mentah dunia langsung tidak memberi kesan terhadap pasaran tempatan.
Harga RON95 dan RON97 naik 4 sen seliter bagi tempoh 3 hingga 9 Ogos lalu, kemudian masing-masing naik 5 sen dan 7 sen seliter pada 10 hingga 16 Ogos dan seterusnya naik lagi 3 sen bagi RON95 dan RON97 pula naik 4 sen pada 17 Ogos hingga 23 Ogos ini.
Peningkatan harga petrol selama enam minggu berturut-turut itu menyebabkan ramai pengguna media sosial mengeluh selain mendakwa ada stesen minyak yang menaikkan harga lebih awal.
Dalam pada itu, Hamzah berkata pihaknya juga tidak pernah menyorokkan sebarang maklumat berhubung penentuan harga minyak petrol dan diesel yang ditetapkan setiap minggu kerana kaedah yang diguna pakai ketika ini turut diaplikasi di peringkat antarabangsa terutama ketika urusan jual beli bahan api tersebut dijalankan.
“Percayalah, tiada penipuan dalam penentuan harga minyak petrol dan diesel.
“Malah kami juga tidak menyorokkan maklumat sebenar kerana harga yang ditetapkan itu adalah untuk kepentingan seluruh rakyat.
“Jadi kerajaan akan pastikan apa sahaja program dijalankan adalah menguntungkan rakyat,” katanya. — Bernama
Sumber: Projek MMO
Sumber “Harga minyak mingguan tidak tipu penguna” – Menteri