B40 dapat manfaat perumahan MyBN Home - Idris Haron

AYER KEROH: Golongan berpendapatan rendah atau B40 mendapat manfaat menerusi pembinaan sebanyak 50 unit kediaman mampu milik di bawah program Perumahan MyBN Home di Lipat Kajang, Jasin, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata projek perumahan imej baharu itu diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM25 juta.

Beliau yang turut berkesempatan melawat ke tapak projek perumahan itu, pagi tadi, secara keseluruhannya berpuas hati dengan perkembangan projek yang sudah mencapai 80 peratus fasa pembinaannya.

"Satu unit rumah dianggarkan bernilai RM40,000, namun kita percaya ia mencapai sehingga RM80,000 jika termasuk dengan nilai tanah.

"Bagaimanapun, atas keprihatinan kerajaan rumah itu dijual pada harga cuma RM20,000 seunit," katanya pada sidang media pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Awam negeri (MAPAN) 2018, di Seri Negeri, di sini, petang tadi.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Othman Muhamad.

Mengulas lanjut, Idris berkata, usaha dibuat Kerajaan Persekutuan itu khusus untuk membantu masyarakat khususnya yang tidak mempunyai rumah serta tanah merasai memiliki kediaman sendiri melalui permohonan di Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Idris yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada seramai 526 penjawat awam di seluruh Melaka turut menyeru supaya kakitangan awam tidak terlalu berkira dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Melalui kejujuran serta mendahulukan nilai keikhlasan, suasana pekerjaan akan bertambah baik. Kita percaya perkhidmatan awam juga akan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada masyarakat," katanya.



Sumber B40 dapat manfaat perumahan MyBN Home - Idris Haron

Post a Comment

Previous Post Next Post