Program SASaR dilaksanakan di seluruh negara

KOTA KINABALU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membawa Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) ke seluruh negara bagi memberi kemudahan kepada warga tentera.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata ATM merancang membangunkan program itu ke seluruh negara yang ada kem tentera.

"Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri jika mereka dapat memberi tanah yang boleh dibangunkan untuk membina SASaR," katanya pada sidang media selepas majlis bersama warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sepanggar di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.

Program SASaR bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap penempatan kuarters, sekali gus memberi galakan kepada anggota ATM membeli rumah ketika dalam perkhidmatan.

Tahun lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan sebagai berkata kementeriannya menyasarkan pembinaan 25,000 unit rumah mampu milik untuk anggota dan veteran ATM di seluruh negara menjelang 2030 menerusi Program SASaR.

Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata, adalah penting untuk mengukuhkan interaksi antara pemerintahan dalam ATM bagi menguatkan lagi ketumbukan itu.

"Oleh itu, saya mengadakan program lawatan dan bertemu dengan anggota tentera udara di Labuan, hari ini di Pangkalan TLDM di Sepanggar serta malam ini bertemu veteran ATM.

"Ini bagi memastikan ada rasa saling memerlukan antara anggota. Ini pendekatan yang saya cuba terapkan.

"Saya berharap kaedah ini akan menjadikan kita satu angkatan kukuh yang boleh dijadikan tempat untuk kerajaan sandarkan harapan," katanya.



Sumber Program SASaR dilaksanakan di seluruh negara

Post a Comment

Previous Post Next Post