KUALA LUMPUR: Belian saat akhir dalam kaunter saham wajaran tinggi dan kewangan mendorong Bursa Malaysia ditutup tinggi pada paras tertinggi harian hari ini, meskipun sentimen pasaran serantau lemah, kata peniaga.
Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup pada 1,828.63, meningkat 2.60 mata daripada 1,826.03 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks itu dibuka 1.48 mata lebih rendah kepada 1,824.55.
Barometer pasaran bergerak ke paras serendah 1,821.54 sepanjang hari ini.
Lingkungan pasaran keseluruhannya bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 678 berbanding 321, manakala 390 kaunter tidak berubah, 444 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 4.97 bilion unit bernilai RM2.79 bilion, berbanding 6.53 bilion unit bernilai RM3.37 bilion pada Selasa.
Hong Leong Bank mendahului senarai untung, apabila melonjak 58 sen kepada RM17.80, menyumbang 2.23 mata kepada indeks komposit.
Peniaga berkata, kebanyakan bursa Asia terjejas susulan penurunan kecil semalaman di Wall Street yang menyebabkan tekanan jualan sederhana.
Beliau berkata, harga minyak dan komoditi yang susut juga mempengaruhi kaunter berkaitan sumber dan komoditi terpilih di seluruh rantau Asia.
Indeks FBM Emas naik 3.69 mata kepada 13,191.73, Indeks FBMT 100 meningkat 12.55 mata kepada 12,848.37, namun Indeks FBM Emas Syariah turun 21.92 mata kepada 13,618.51.
FBM 70 turun 3.14 mata kepada 16,420.29 namun FBM Ace meningkat 25.42 mata kepada 6,806.18.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 55.40 mata kepada 17,246.20, Indeks Perusahaan susut 18.07 mata kepada 3,338.35 dan Indeks Perladangan turun 20.45 mata kepada 8,075.23.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.88, Public Bank tidak berubah pada RM20.88, TNB turun enam sen kepada RM15.82 manakala Petronas Chemicals dan CIMB Group masing-masing kurang dua sen kepada RM8.17 dan RM6.77.
Bagi saham aktif, NETX naik setengah sen kepada lima sen, Xinghe bertambah satu sen kepada tujuh sen, Sumatec kurang dua sen kepada 10 sen dan Perisai Petroleum turun 1.5 sen kepada 7.5 sen.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 2.87 bilion unit bernilai RM2.55 bilion, daripada4.89 bilion unit bernilai RM3.14 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE bertambah kepada 1.67 bilion saham bernilai RM173.29 juta daripada 1.12 bilion saham bernilai RM148.64 juta.
Waran mencatat jumlah dagangan sebanyak 425.21 juta unit bernilai RM67.54 juta berbanding 510.20 juta unit bernilai RM80.60 juta.
Barangan pengguna menyumbang 195.46 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (639.44 juta), pembinaan (94.99 juta), perdagangan dan perkhidmatan (1.63 bilion), teknologi (92.34 juta), infrastruktur (5.37 juta), SPAC (3.26 juta), kewangan (55.42 juta), hotel (630,000), hartanah (101.76 juta), perladangan (46.67 juta), perlombongan (670,800), REIT (10.24 juta), dan dana tertutup (28,000).
-- BERNAMA
Sumber Bursa Malaysia ditutup tinggi