Telefon pintar kini boleh dicas tanpa wayar pada jarak lebih jauh daripada pengecas. (Gambar: energous.com)
Namun, kemajuan teknologi dan tahap kehidupan yang serba moden sudah dapat dirasai ketika ini. Seandainya kita menyingkap 20 tahun lalu, pasti ramai yang menggatakan penggunaan telefon mudah alih adalah sesuatu yang membazirkan wang.
Kini, penggunaan peranti tersebut bukan sahaja menjadi keperluan harian tetapi capaian Internet juga sudah meluas ditambah teknologi tanpa wayar. Bagaimanapun, tahun 2018 mungkin akan memperkenalkan satu teknologi baru yang pasti membuatkan orang ramai tersenyum lebar!
DUNIA TANPA WAYAR
Suatu ketika dahulu, capaian Intenet hanya dapat dilakukan dengan cara menyambung peranti kepada modem Internet dengan menggunakan kabel. Menyediakan persekitaran yang kemas bukan sahaja menjadi sukar tetapi bilangan peranti yang mampu dihubungkan kepada Internet juga adalah terhad.
Mujur teknologi capaian Intenet tanpa wayar seperti Wifi hadir untuk memudahkan keadaan. Kini, bukan sahaja persekitaran menjadi lebih kemas dan lebih banyak peranti dapat dihubungkan tetapi pengguna juga mampu melayari Intenet dari pelbagai sudut atau tempat pilihan.
Beberapa alatan lain seperti fon telinga, pembesar suara dan papan kekunci juga sudah semakin banyak menggunakan teknologi tanpa wayar. Namun, ramai masih tertanya bila pula giliran telefon mudah alih dapat cas tanpa wayar sepenuhnya!
Dengan penggunaan meluas peranti tersebut pada masa kini, masalah yang paling kerap dihadapi oleh pengguna adalah masalah kehabisan bateri telefon. Pengguna bukan sahaja perlu mencari alat dan tempat untuk mengecas telefon tersebut tetapi peranti itu tidak dapat dibawa bersama dengan pengguna seandainya ia sedang dicas.
Sememangnya sudah ada beberapa telefon mudah alih terbaru keluaran syarikat seperti Apple, LG, Samsung dan lain-lain lagi yang mampu dicas tanpa menggunakan sebarang wayar atau kabel.
Bagaimanapun, telefon tersebut masih perlu di letakkan di atas suatu alatan khas dan ini bermakna telefon masih tidak mampu untuk dibawa bersama pengguna ketika proses cas dilakukan.
Berita baik buat semua kerana tidak lama lagi anda mungkin mampu mengecas telefon pintar anda dari serata rumah atau pejabat anda!
TEKNOLOGI WATTUP, POWERSPOT JADI PERHATIAN
Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) di Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu telah meluluskan produk pengecasan tanpa wayar yang dihasilkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di San Jose, California, AS iaitu Energous.
Produk yang diberi nama WattUp itu menggunakan frekuensi radio untuk mengecas peranti elektronik seperti telefon mudah alih, tablet, jam pintar, fon telinga, pembesar suara, tracker kecergasan dan lain-lain lagi.
Buat masa ini, pemancar WattUp hanya mampu mengecas peranti yang berada pada jarak tiga kaki (0.9 meter) sahaja tetapi pemancar yang mampu mengecas pada jarak yang lebih jauh lagi hanya menunggu masa untuk mendapat kelulusan dari pihak FCC.
“Keupayaan untuk mengecas tanpa kabel atau wayar sememangnya telah lama dinantikan oleh para pengguna. Kini mereka boleh mengecas alatan seperti tracker kecergasan sambil memakainya,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Energous iaitu Stephen Rizzone dalam suatu kenyataan akhbar.
CAS LEBIH JAUH
Satu lagi syarikat yang baru sahaja mendapat kelulusan FCC bagi produk pengecasan tanpa wayar adalah Powercast Corporation yang berpangkalan di Pittsburg, Pennsylvania, AS.
Walaupun mereka menggunakan teknologi yang sama dengan WattUp, produk mereka yang diberi nama PowerSpot itu mampu berfungsi pada jarak yang lebih jauh lagi iaitu 80 kaki (24.38 meter).
“Pengeluar barangan elektronik kini tanpa ragu-ragu lagi boleh menggunakan teknologi kami yang telah mendapat kelulusan FCC ke dalam ekosistem pengecasan tanpa wayar mereka.
“Mereka kini mampu menawarkan kepada pelanggan mereka kebolehan mengecas jarak jauh tanpa memerlukan apa-apa hubungan secara terus,” ujar Ketua Pegawai Teknologi Powercast iaitu Charles Green.
Kedua-dua syarikat ini akan memberikan maklumat lebih terperinci mengenai produk mereka ini di Consumer Electronics Show yang bakal berlangsung di Las Vegas, Nevada, AS pada minggu hadapan.
Masih tidak dapat dipastikan bilakah teknologi baru ini bakal memasuki pasaran Malaysia tetapi tidak dapat disangkal bahawa pengguna telefon pintar sememangnya tidak sabar menanti kehadirannya!
Sumber Cas Tanpa Wayar, Telefon Pintar Kini Semakin Pintar