'Suara halus' arah rosakkan gereja

KOTA BHARU: Seorang pembantu am sebuah hospital di Pasir Mas ditahan polis selepas disyaki membaling penapis air dan batu ke gereja di Jalan Hamzah, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata suspek yang berusia 34 tahun itu, ditahan di rumahnya di Kampung Belukar, Pasir Mas, pada jam 1 pagi semalam.

Katanya, polis pada awalnya menerima laporan orang awam bahawa suspek terbabit dengan kes langgar lari di jejambat Kota Bharu.

Katanya, selepas disiasat, suspek juga dipercayai terbabit dengan kes membaling objek keras ke gereja dan langgar lari ketika membuat pusingan U selepas kejadian itu.

"Orang awam yang ada di tempat kejadian mengekori suspek yang memandu kereta jenis Nissan Grand Livina milik isterinya sehingga ke kawasan rumahnya dan kemudian memaklumkan kepada polis yang sedang membuat rondaan ketika itu.

"Suspek dibawa ke balai polis Pasir Mas dan ditahan kerana positif dadah jenis methaphetamine.

"Suspek didapati terbabit dengan kejadian di gereja, Ahad lalu. Rakaman oleh saksi kejadian di gereja turut menunjukkan suspek melanggar sebuah motosikal.

"Hasil siasatan mendapati suspek mengalami halusinasi selepas kematian ibunya tahun lalu menyebabkan dia mendengar suara halus yang menyuruhnya melakukan perkara tidak elok di rumah ibadat bukan Islam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, suspek yang isteri sedang hamil dan mempunyai seorang anak itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

"Kes ini disiasat mengikut Sekyen 295 Kanun Keseksaan, membabitkan isu khianat di tempat ibadat," katanya.



Sumber 'Suara halus' arah rosakkan gereja

Post a Comment

Previous Post Next Post