Pemandu lori sedang makan bersama rakan maut ditetak

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori berusia 27 tahun maut setelah diserang empat lelaki di sebuah kedai makan di Jeram, Kuala Selangor dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Mohd Asri Abd Wahab berkata dalam kejadian 9 malam itu, mangsa, S. Mohan yang sedang makan bersama tiga rakannya diserang empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang.

"Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri telah diserang dan ditetak berkali-kali sebelum penyerang melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi menghala ke Kapar, Klang.

"Kesemua rakan mangsa yang turut diserang, bagaimanapun berjaya melarikan diri dan sedang dikesan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik kedai makan itu segera menghubungi talian kecemasan bagi melaporkan kejadian berkenaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada kepala dan beberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, namun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

Motif kejadian masih disiasat, katanya.

-- BERNAMA



Sumber Pemandu lori sedang makan bersama rakan maut ditetak

Post a Comment

Previous Post Next Post