Salah identiti, kereta kena pecah konco along

KUALA LUMPUR: Dua lelaki mendakwa menjadi mangsa silap identiti ceti haram atau along selepas kenderaan mereka disimbah cat di Taman Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, 6 Januari lalu.

Kejadian pertama kira-kira jam 2 pagi manakala kes kedua kira-kira satu kilometer dari lokasi pertama berlaku 15 minit selepas itu.

Kedua-kedua mereka, Mohd Hulsie Yusof dan Mohd Hapzan Yusof, masing-masing berusia 41 tahun, memiliki kereta jenis Honda Civic FD mendakwa menjadi mangsa silap identiti kerana tidak pernah berurusan atau membuat pinjaman dengan along.

Mohd Hulsie yang juga Pengerusi Akademi Dikir Barat Arjuna Sukma, berkata ketika kejadian, dia sedang menyiapkan kerjanya di rumah sebelum terdengar bunyi penggera kereta.

"Unit Ronda Sukarela rukun tetangga menghubungi saya memaklumkan kereta saya dipecahkan cermin serta disimbah cat merah.

"Saya menghubungi polis dan satu penutup cat tertera nama sebuah kedai cat ditemui di lokasi kejadian, sekali gus menjadi petunjuk kes," katanya kepada BH selepas membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Mangsa kedua, Mohd Hapzan, berkata dia yakin suspek tersilap identiti kerana ada ramai penduduk di situ memiliki kereta jenis sama.

"Saya sedang tidur ketika kejadian dan terjaga kerana bunyi seperti ada sesuatu pecah serta bau cat sebelum mendapati kereta disimbah cat serta cermin hadapan dipecahkan dengan batu," katanya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata sebelum ini pihaknya pernah menerima aduan sama berhubung beberapa kejadian silap identiti yang dilakukan kuncu along.

Katanya, dalam kes itu pengadu mendakwa menjadi mangsa silap identiti selepas bil air dan elektrik rumah dicuri individu yang memohon pinjaman along.

"Dalam aduan terbaharu ini, kedua-dua mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Bandar Sulaiman pada hari kejadian.

"Saya harap polis dapat menyempurnakan siasatan mereka dalam tempoh terdekat berdasarkan bukti yang ada," katanya.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, orang ramai yang menghadapi masalah sama boleh mengadu kepada PPIM di talian 019-3458444.

Sementara itu, Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Bagaimanapun, katanya, polis belum menahan sesiapa kerana kekurangan maklumat yang boleh dikaitkan dengan mana-mana suspek.

"Polis masih menyiasat kes ini. Pengadu juga mendakwa tidak ada membuat pinjaman dengan along," katanya.



Sumber Salah identiti, kereta kena pecah konco along

Post a Comment

Previous Post Next Post