Bukan ‘Cong Codei’, jumpa Pok Ya di Kelantan

Sabri tidak menyangka karyanya mendapat impak besar dalam masyarakat sehingga dinilai pelbagai pihak dan kedudukan. — Foto ihsan Instagram/Suhan MoviesSabri tidak menyangka karyanya mendapat impak besar dalam masyarakat sehingga dinilai pelbagai pihak dan kedudukan. — Foto ihsan Instagram/Suhan MoviesKOTA BARU, 9 Feb — Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) akan mengadakan program santai bersama teraju utama telefilem Pok Ya Cong Codei, Sabri Yunus, di sebuah hotel di Jalan Post Office Lama di sini pada 22 Feb ini.

Presiden Kemudi Azran Fitri Rahim berkata program yang dinamakan Makey Tey bersama Pok Ya Cong Codei: Sengoti atau Lipak (Minum Teh Bersama Pok Ya Cong Codei: Betul atau Tipu) itu akan berlangsung dari 4 petang hingga 6 petang.

“Hanya 300 tempat disediakan dan bayaran RM50 dikenakan kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai program santai berkenaan.

“Ia antara program yang dirancang Kemudi tahun ini, yang bertujuan untuk menaikkan budaya Kelantan itu sendiri,” katanya pada sidang berita di sini, hari ini.

Turut hadir Sabri, Timbalan Presiden Kemudi Shahnun Hanif Ahmad Suhaimi, Ketua Pegawai Eksekutif Purity Resources Sdn Bhd Mohd Zaidi Ismail dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Riverview Raja Rusmin Raja Mahmud.

Azran Fitri berkata pada program santai berkenaan, peserta diberi peluang untuk bertanyakan soalan bagi mendalami watak Pok Ya Cong Codei yang kini tular selepas telefilem berkenaan mendapat sambutan hangat setelah ditayangkan di sebuah saluran televisyen berbayar baru-baru ini.

Sementara itu, Sabri berkata beliau tidak menyangka karyanya mendapat impak besar dalam kalangan masyarakat sehingga dinilai oleh sebahagian masyarakat daripada pelbagai pihak dan kedudukan.

Beliau yang menulis, mengarah dan berlakon telefilem itu tidak menjangka ia mendapat sambutan hangat kerana dibikin dalam tempoh tujuh hari sahaja.

“Dalam seni, saya percaya banyak perkara yang kita patut angkat sebagai karya. Kita tak perlu berfikir terlalu jauh cuma perlu lebih peka dengan keadaan sekeliling.

“Sejarah dan tamadun Kelantan banyak yang boleh dijadikan karya dan saya rasa banyak lagi tugasan saya selepas ini untuk mengangkat nilai-nilai yang ada di negeri ini untuk pengetahun masyarakat luar,” katanya yang turut dikenali dengan watak Wan Ismail Golok dalam sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Telefilem Pok Ya Cong Codei berkisah mengenai seorang samseng kampung yang diupah seorang peguam untuk mencari anak perempuannya yang diculik oleh pekerjanya sendiri.

Mereka yang berminat menyertai program berkenaan boleh menghubungi Yatimin Abdullah di talian 0189009259. — Bernama



Sumber Bukan ‘Cong Codei’, jumpa Pok Ya di Kelantan

Post a Comment

Previous Post Next Post