Pada sebutan kes yang berlangsung hari ini, mengikut pertuduhan, Farid didakwa mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 5.54 petang pada 31 Januari lalu di Balai Polis Taman Tun Ismail, Kuala Lumpur.
Dakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 193 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Farid menghadapi lima pertuduhan jenayah lain termasuk penyalahgunaan dadah dan menyerang anggota polis dan orang awam.
Farid yang hadir ditemani oleh adiknya, Fadzil Zahari dan peguam, Faizul Mohd Nasir kelihatan tenang ketika sebutan kes berlangsung.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan Farid diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini Farid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) iaitu dalam kumpulan ganja ke dalam badan, pada 11 Januari lalu.
Pelakon drama Lafazkan Kalimah Cinta tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.
Farid turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu.
Sumber Kes Buat Laporan Palsu: Farid Mengaku Tidak Bersalah