Ku Nan: Selangor tidak boleh harap, biar KL proses air sendiri

Tengku Adnan berkata pada masa ini, Kementerian Wilayah Persekutuan tidak mempunyai kuasa dalam isu air dan penubuhan jabatan itu merupakan pendekatan terbaik. — Foto oleh Yusof Mat IsaTengku Adnan berkata pada masa ini, Kementerian Wilayah Persekutuan tidak mempunyai kuasa dalam isu air dan penubuhan jabatan itu merupakan pendekatan terbaik. — Foto oleh Yusof Mat IsaPUTRAJAYA, 4 Mac — Cadangan penubuhan Jabatan Air Wilayah Persekutuan sudah dikemukakan kepada Kabinet dan kini menunggu keputusan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA), kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata Jabatan Air Wilayah Persekutuan mesti ditubuhkan supaya Wilayah Persekutuan mempunyai sumber airnya sendiri.

“Dengan adanya Jabatan Air Wilayah Persekutuan, air dari Putrajaya, dari tasik dan sistem yang ada, boleh dibekalkan ke Kuala Lumpur. Semua ini sudah dikaji.

“Kalau hendak harapkan Kerajaan Selangor, memang tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan surau Imam Abu Hassan Asy’ari di Perumahan  Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Selasih Presint 17 di sini, hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mahu mempunyai jabatan air sendiri bagi membolehkan Kuala Lumpur berdikari dalam  urusan air dan tidak lagi bergantung bekalan dari Selangor.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Wilayah Persekutuan berkata pada masa ini, Kementerian Wilayah Persekutuan tidak mempunyai kuasa dalam isu air dan penubuhan jabatan itu merupakan pendekatan terbaik.

“Pendekatan ini perlu diambil kerana kerajaan Selangor langsung tidak peduli dan tidak boleh dibawa berbincang mengenai isu bekalan air,” katanya. — Bernama



Sumber Ku Nan: Selangor tidak boleh harap, biar KL proses air sendiri

Post a Comment

Previous Post Next Post