KUALA LUMPUR, 7 Mac ― Siput sedut biasanya dimasak lemak cili api, namun pernahkah kita terfikir ia boleh dipadankan dengan keju?
Hidangan unik ini boleh dinikmati di Izi Stesen yang terletak di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh.
Pemiliknya Nur Syairah Zainal Abidin, 33, berkata beliau mendapat ilham membuat menu menarik berkenaan kerana mahukan kelainan.
“Sebelum ini kita sudah ada ‘shell out’ asam pedas, jadi kita perah otak supaya ada satu lagi menu unik,” katanya kepada ProjekMMO semalam.
“Memandangkan sekarang banyak makanan digabungkan dengan keju, jadi terfikir untuk olah siput sedut dan dicampurkan dengan keju.”
Dikenali juga siput belitung, atau Cerithidea obtusa, siput sedut keju di Izi Stesen tersebar luas di media sosial hujung tahun lalu.
Syairah berkata sejak menular berita tersebut, gerainya kini berjaya menghabiskan 6 hingga 10 kilogram siput sedut setiap hari.
Bekalan siput diperoleh dari pembekal dari Kuala Selangor dan Selayang.
Siput sedut direbus terlebih dulu, selepas itu dimasak dengan mentega, susu, ditabur keju dan dibakar bersama serbuk cili.
Sepinggan sajian ini, dengan lebih 30 siput sedut, dijual RM19.
Sementara hidangan “shell out” asam pedas berharga RM35 untuk dua orang atau RM60 untuk tiga hingga empat orang.
Terdapat juga udang karang keju yang dijual dengan harga promosi RM110.
Terletak di No 4 Gerai MBSA di Jalan Kuala Selangor, gerai ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 4.30 petang hingga 12 tengah malam.
Taip saja Izi Stesen di aplikasi Waze atau peta Google di telefon anda.
Semak Facebook dan Instagram Izi Stesen atau hubungi 016 293 2345 untuk pertanyaan atau tempahan. Mereka juga menyediakan khidmat katering.
Sumber Menu unik di Sungai Buloh, siput sedut keju