Hattan dakwa tak tahu itu program ‘live’?

KUALA LUMPUR: Cerita sebenar di sebalik video tular Datuk Hattan dan pembaca berita Astro Awani, Nursyazwani Saiful Sham terbongkar apabila penyanyi terbabit memaklumkan tidak mengetahui ia adalah temubual secara langsung.

Perkara ini dijelaskan seorang teman rapat Hattan, Salimey Abu Bakar menerusi TikTok.

Menurutnya, dia menonton siaran berita Astro Awani kelmarin pada jam 10.40 pagi dan berasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

“Saya terus hubungi Hattan dan bertanyakan situasi sebenar. Soalan pertama yang saya ajukan, adakah tahu panggilan tadi ‘live’?

“Jawapan yang diberikannya, apa live? Aku tak tahu, katanya. Saya tanya lagi, biar betul Hattan tak tahu? Tak tahu, aku tengah baring mereka ‘call’ tanya soalan, aku jawablah macam biasa.

“Kalau kita pun dalam situasi begini mungkin kita pun jawab macam sembang biasa kawan-kawan. Saya pun jawab dengan Hattan… ohh ya ke,” cerita Salimey.

Menurutnya, dalam pemikirannya tidak mungkin Hattan tidak tahu protokol apabila ditemubual secara langsung di televisyen atau radio.

“Jadi, tidak adil satu kesalahan terus dilemparkan kepada artis seperti Datuk sahaja kerana beliau tidak minta ditemubual dalam siaran berita terbabit.

“Sebaliknya penerbit berita Astro Awani harus bersedia dengan soalan dan jawapan untuk diberi pada panel dan pembaca berita pada masa terbabit,” katanya.

Terdahulu, isu ini bermula apabila Hattan menempelak pembaca berita terbabit yang dikatakan tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan berkaitan Mael XPDC.

Hattan dihubungi untuk temubual secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan ‘makan dalam’.

Disebabkan pembaca berita ini kurang arif beberapa perkara berkaitan XPDC, Hattan terus menyelar penyampai terbabit.

Malah, Hattan bertanya semula kepada penyampai dengan nada yang tegas agar memberi jawapan yang betul serta mempersoalkan sama ada membuat kajian ataupun tidak.

Lebih daripada itu, belum sempat penyampai ini mengucapkan terima kasih kepadanya, Hattan memutuskan talian terbabit.

Rakaman video yang tular membuatkan Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin dianggap sebagai kurang ajar oleh netizen. – HM Online

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Koleksi Viral

Sumber : https://ift.tt/Mzx7JR5



Sumber: Sinar Viral

Post a Comment

Previous Post Next Post